Followers

Friday, March 8, 2013

SIAPAKAH ALLAH?

Pada artikel yang lepas disni kita telah membincangkan secara asas apa itu Islam serta kesimpulannya untuk menjadi seorang Muslim kita perlu percaya tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah Rasul Allah.


Sebelum itu penulis hanya ingin mengingatkan bahawa Allah menggunakan  perkataan “Kami” terhadap dirinya dalam Al-Quran bukanlah menunjukkan bahawa Allah itu lebih dari satu, tetapi ia menunjukkan ketinggian dan kebesarannya (Majesty), silakan baca (disini) penjelasan tentang hal ini.


Artikel kali ini kita akan melihat siapakah Allah menurut Al-Quran secara ringkas, secara ringkasnya, Allah telah mendefinisikan dirinya sendiri dalam Al-Quran dalam Surah Al-Ikhlas, Surah nombor 112 ayat 1-4 iaitu yang bermaksud:


Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; "Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; "Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya". (Al-Quran 112:1-4)


Allah (Pencipta/creator)  seperti diceritakan dalam Al-Quran surah nombor 112 ayat nombor 1 bahawa Allah adalah Esa iaitu Allah itu satu. Allah tidak ada dua, tiga atau empat, kerana jika Allah (Pencipta/creator) adalah lebih dari satu, maka ia akan berkongsi kuasa serta akan berbincang terlebih dahulu jika mempunyai permasalahan untuk membuat keputusan, disinilah logiknya mengapa Tuhan mesti satu.


Pada ayat berikutnya, Tuhan (Allah) itu sangat kuat sehingga ia menjadi pergantungan sepenuhnya oleh segala ciptaannya (creation) dalam apa jua permasalahan Tuhan (Allah) adalah tempat meminta segala sesuatu hajat dan semestinya Tuhan tidak perlu meminta kepada sesiapa pun kerana Tuhan sangat hebat dan berkuasa.


Apabila Tuhan itu sudah satu (1), maka Tuhan tidak perlu kepada anak, pakcik, makcik dan apa-apa jua yang sama seperti itu kerana Tuhan tidak perlu kepada semua perkara tersebut disebabkan kesuciannya dan kekuatannya yang terlalu hebat dan besar.


Tuhan tidak sama dengan sesuatu pun, tidak sebanding dengan apa pun. Tuhan hanya mempunyai sifat yang hebat dan tinggi, Tuhan tidak perlu mempunyai sifat yang aib (memalukan), antara analogi yang boleh digunakan adalah Ratu Elizabath, adakah beliau akan berpakaian kurang sopan di khalayak ramai? jawapannya pasti tidak kerana dia tidak akan menjatuhkan martabat dirinya, namun adakah dia mampu berbuat demikian? ya, dia mampu berbuat demikian tetapi dia tidak mungkin mahu melakukannya. Tuhan tidak akan berbuat sesuatu yang menjatuhkan martabatnya sendiri, itulah sifat tuhan, hanya sifat yang kuat, layak dan tinggi sahaja bagiNya.


Kesemua ini telah diringkaskan oleh Allah dalam AlQuran dalam surah Al-Ikhlas surah nombor 112 ayat 1-4.


Berikut adalah beberapa atau sebahagian lagi ayat Al-Quran yang menjelaskan siapa itu Allah, Allah tidak sebanding dengan apa pun ciptaan (creation), di catat dalam A-lQuran yang bermaksud:


Tiada sesuatupun yang sebanding dengan dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat” (Al-Quran 42:11)


Allah sangat hampir dengan kita, tidak mampu dibayangkan kerana Allah lebih hampir dari urat leher diri kita dan sentiasa mengawasi serta menyaksikan setiap sesuatu dan ini semua tidak mampu dibayangkan kerana melampaui kemampuan akal manusia yang terhad, apa yang pasti, Allah sangat hampir seperti diceritakan dalam Al-Quran yang bermaksud:


Dan Ia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada, dan Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan” (Al-Quran 57:4)


dan juga diceritakan lagi dalam Al-Quran yang bermaksud:


..sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya..” (AlQuran 50:16)


Maksud pengetahuan Allah lebih dekat kepadanya adalah kerana Allah mampu untuk mengetahui segala bisikan hati kita seperti yang dinyatakan dalam Al-Quran:


Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya” (Al-Quran 50:16)


Dijelaskan lagi dalam Al-Quran yang bermaksud:


Tidakkah engkau memikirkan, bahawa sesungguhnya Allah mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi? Tiada berlaku bisikan antara tiga orang melainkan Dia lah yang keempatnya, dan tiada (berlaku antara) lima orang melainkan Dia lah yang keenamnya, dan tiada yang kurang dari bilangan itu dan tiada yang lebih ramai, melainkan Ia ada bersama-sama mereka di mana sahaja mereka berada. Kemudian Ia akan memberi tahu kepada mereka - pada hari kiamat - apa yang mereka telah kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Al-Quran 58:7)


Sesungguhnya Allah hidup kekal selama-lamanya, tanpa ada permulaan dan pengakhiran, kerana Allah bukan sebahagian dari Alam yang terikat dengan masa dan waktu. Allah yang menciptakan Alam ini dan Allah jua lah yang menciptakan masa dan waktu, maka Allah tidak terikat dengan masa seperti dinyatakan dalam Al-Quran yang bermaksud:


Dia lah Yang Awal dan Yang Akhir; dan Yang Zahir serta Yang Batin; dan Dia lah Yang Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” (Al-Quran 57:3)


Dan akan kekalah Zat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan” (Al-Quran 55:27)


Allah adalah Tuhan yang berkuasa menyelenggara dan menguruskan setiap perkara mengikut kehendaknya, atau yang memelihara, atau menyaksikan setiap sesuatu seperti dinyatakan dalam Al-Quran yang bermaksud:


Allah Yang Menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dia lah Yang Mentadbirkan serta menguasai segala-galanya” (Al-Quran 39:62)


Allah juga adalah Tuhan yang mempunyai kekuasaan yang sangat sempurna seperti yang diberitahu dalam Al-Quran yang bermaksud:


...sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Al-Quran 2:20)
Allah Maha Mengetahui sekecil-kecil perkara juga tidak terlepas dari pengetahuan Allah dalam Al-Quran ada menceritakan iaitu yang bermaksud:


“Dan tidak akan hilang lenyap dari pengetahuan Tuhanmu sesuatu dari sehalus-halus atau seringan-ringan yang ada di bumi atau di langit, dan tidak ada yang lebih kecil dari itu dan tidak ada yang lebih besar, melainkan semuanya tertulis di dalam Kitab yang terang nyata.” (Al-Quran 10:61)


Dimana-mana sahaja kita berada, Allah sentiasa melihat kita, sama ada kita di langit atau di bumi atau dimana-mana sahaja, dalam Al-Quran menceritakan:


“Ia mengetahui apa yang masuk ke bumi serta apa yang keluar daripadanya; dan apa yang diturunkan dari langit serta apa yang naik padanya. Dan Ia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada, dan Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan” (Al-Quran 57:4)


Walaupun jika kita menyembunyikan sesuatu, namun Allah dengan kekuasaannya yang hebat tahu dan dapat melihat apa yang kita sembunyikan.


“..Sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia dan segala yang tersembunyi” (Al-Quran 20:7)



Begitulah sebahagian kecil kekuasaan Allah yang kita bincangkan pada kali ini, sesungguhnya, terlalu banyak jika mahu menulis dan menyenaraikan segala kekuasaan Allah dan kehebatan Allah.


Rujukan:
1.      Jauhatut Tauhid – Sheikh Ibrahim al-Laqony
2.      Qul Hazihi Sabili – Al Muhaddith Prof Dr. Sayyid Alawi Al- Maliki


No comments:

Post a Comment